Wednesday, June 30, 2010

Memulakan Bisnes Sendiri

Saya sentiasa meminati dan menanti-nanti buah fikiran Presiden Universiti Terbuka PTS, Pn Ainon di dalam blognya. Hari ini saya dapati ada pengguna enjin carian Google melawat laman web kami hasil carian kekunci "Kursus Usahawan". Saya yang gemar mengkaji corak carian kekunci pengguna internet terus mengintai-intai laman web lain yang termasuk dalam carian yang sama dan berakhir di pautan Universiti Terbuka PTS yang memuatkan artikel tentang Kursus Usahawan Negeri Selangor, seperti di bawah.

Saya sangat bersetuju dengan ulasan Pn Ainon bahawa sekarang sudah masanya usahawan Muslim untuk bangkit dan meninggalkan sikap "merebut peluang" tetapi memilih untuk "mencipta peluang"! Kami di Great Minds Training and Consultancy ingin mengajak lebih ramai lagi Usahawan Muslim untuk bersama-sama kami mencipta peluang yang amat luas dengan memulakan perniagaan borong dari negara China.

Kursus Usahawan Negeri Selangor Masih di Takuk Lama: Cuma Dapat Melahirkan Usahawan Cap Ayam

PTS PROFESIONAL Sdn. Bhd. adalah penerbit paling aktif menerbitkan buku-buku bisnes dan pengurusan.


Setiap bulan PTS menerbitkan minimum 2 judul bisnes. Dorongan dan komitmen itu bertujuan membantu proses melahirkan usahawan yang banyak pengetahuan, bukan setakat usahawan yang bergantung kepada kontrak kerajaan.


Itulah perjuangan PTS di sebalik semboyannya: "Memandaikan Bangsa".
Pada saat ini kerajaan negeri Selangor sedang menjalankan program kursus keusahawanan. Baca di sini pengumumannya.

Tujuan kursus itu adalah: "...membantu peserta memahami erti usahawan, melihat, mengenal dan merebut peluang-peluang perniagaan yang sesuai selain membuat persiapan serta mempelajari kaedah perniagaan yang terbaik dan berkesan."


Mengajar orang Melayu supaya pandai berniaga dengan cara "merebut peluang" tidak boleh lagi dijadikan tujuan kursus keusahawanan. Kontraktor-kontraktor Melayu yang bergantung kepada projek kerajaan mempunyai mentaliti "merebut peluang" kontrak dan mentaliti "berebut-rebut" kontrak.


Disebabkan mereka cuma pandai "merebut peluang" akibatnya kontraktor Melayu berniaga dengan sikap umpama ayam mencari makan: Kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang. Sebagaimana ayam, mereka survive dari satu kontrak ke satu kontrak kerajaan.

Merebut peluang bermakna kita menunggu sampai ada peluang-peluang yang dicipta oleh orang lain, kemudian barulah kita berebut-rebut mendapatkan peluang itu.

Yang dikatakan menjadi usahawan adalah aktiviti "mencipta peluang".

Kursus-kursus keusahawan hari ini hendaknya membasuh otak para peserta supaya berhenti daripada mentaliti mahu belajar bagaimana hendak pandai "merebut-dan-berebut-peluang". Mentaliti begitu amat berbahaya.


Gantikan dengan kefahaman yang betul berkenaan apa sebenarnya yang dikatakan menjadi 'usahawan' dan apa itu aktiviti 'keusahawanan'.

-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
ainon@pts.com.my
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

No comments:

Post a Comment