Monday, August 9, 2010

Rahsia Bisnes Orang Cina



Akhirnya saya berjaya mendapatkan naskah buku Rahsia Bisnes Orang Cina dari Toko Buku Akademi Penulis semasa menyertai bengkel mereka minggu lepas. Sudah lama kami kepingin untuk memiliki sendiri buku ini. Buku yang laris seperti goreng pisang panas ini memang ketiadaan stok di MPH yang kami kunjungi sebelum-sebelum ini.

Buku tulisan Tuan Ann Wan Seng sangat membuka mata tentang bagaimana komitmen yang diberikan oleh orang Cina dalam menguruskan perniagaan mereka. Buku ini menceritakan tentang rahsia dan formula bangsa Cina dalam mengendalikan perniagaan sehingga berjaya.

Antara menarik yang dapat saya hadam adalah tentang konsep perniagaan yang orang Cina jalankan. Perniagaan yang mereka ceburi mestilah berkonsep jangka panjang, bukan bersifat sementara. Contoh yang dibawa oleh penulis adalah perniagaan "instant" peniaga-peniaga Melayu yang muncul setahun sekali semasa bulan Ramadhan seperti tumbuhnya cendawan. Setelah Ramadhan berlalu, perniagaan mereka juga sama-sama hilang dan berehat selama 11 bulan.

Antara sebab mengapa orang Cina lebih berjaya di dalam perniagaan adalah kerana mereka memandang perniagaan secara serius, bukan untuk suka-suka atau bermusim. Pada mereka, perniagaan bermusim seperti yang sering diceburi masyarakat Melayu adalah perniagaan yang tidak menguntungkan untuk jangka masa panjang dan tidak mampu untuk membuat mereka menjadi kaya. Orang Cina suka melakukan perniagaan secara berterusan walaupun secara kecil-kecilan. Bagi mereka perniagaan adalah sumber utama pendapatan dan bukannya sumber sampingan.

Kini Ramadhan menjelma lagi. Fenomena bisnes yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan akan bermula. Adakah salah bagi peniaga-peniaga Melayu yang cuba mengambil peluang di bulan mulia ini untuk menambah pendapatan? Sememangnya tidak salah sama sekali.  Semoga bulan Ramadhan menjadi titik tolak awal untuk mereka menggunakan keuntungan yang diperoleh sepanjang Ramadhan untuk memulakan bisnes yang lebih besar dan berkekalan. Amin.

Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak.


Guangzhou 101: Kursus Usahawan Borong China akan diadakan pada 22 Ogos 2010. Daftar sekarang! Hubungi kami di 019 950 5118 atau greatmindstc@gmail.com. Maklumat lanjut boleh didapati di sini.

No comments:

Post a Comment