Ramai yang menyangka penentu kejayaan bagi sesebuah perniagaan bergantung kepada jumlah nilai pelaburan atau modal yang dikeluarkan. Namun itu bukanlah faktor utama yang menyumbang ke arah jatuh bangunnya sesebuah bisnes. Kunci emas untuk berjaya menjadi usahawan borong adalah dengan memahami kehendak pasaran.
Bagaimana mahu memahami kehendak pasaran? Formulanya amat mudah iaitu FED.
1. Festive (Perayaan)
2. Event (Peristiwa)
3. Demand (Permintaan/Bekalan)
Di Malaysia, kehendak pasaran banyak bergantung kepada musim perayaan. Sebagai contoh, di dalam industri penerbitan buku, strategi yang diguna pakai adalah menerbitkan judul-judul buku menepati "musim" dan selera ulat-ulat buku pada waktu itu. Misalnya, apabila tiba bulan Ramadhan, masyarakat mula mencari buku-buku yang bertemakan ibadah puasa. Sebagai contoh, buku rujukan agama tentang amalan sunnah di bulan Ramadhan, buku resepi untuk juadah bersahur dan berbuka puasa dan seumpamanya. Contoh terbaik adalah kempen BACA@Ramadhan yang dianjurkan oleh PTS.
Pada masa yang sama, siaran televisyen akan mula menyiarkan siaran yang berkisar tentang puasa Ramadhan seperti rancangan membuat kuih raya. Stesen-stesen radio juga mula memainkan lagu-lagu ketuhanan dan iklan produk-produk laris di bulan Ramadhan. Peniaga-peniaga pula mula menjual persiapan hari raya seperti kuih raya, pakaian, kasut, langsir dan dan sebagainya. Pendek kata, semua institusi yang berteraskan keuntungan akan menggunakan tema perayaan sebagai strategi pemasaran untuk melariskan jualan.
Faktor kedua adalah peristiwa. Contoh termudah adalah Piala Dunia Bola Sepak yang baru sahaja berakhir bulan lepas. Seluruh dunia berpesta bola dan yang beruntung adalah peniaga yang tahu menghidu peluang. Hampir kesemua serba-serbi daripada pakaian, hiasan diri, hiasan bilik, makanan, permainan kanak-kanak, kasut, buku, alat tulis, stiker dan sebagainya bertemakan pasukan bola sepak.
Siapakah pembekal kepada barang-barang tersebut? Sudah tentu usahawan borong yang sedang bergembira mengira keuntungan yang berlipat kali ganda. Semasa rombongan kami ke China pada bulan Mei yang lepas, ramai saudagar-saudagar dari Timur Tengah sedang berkampung di negara tersebut. Hajat mereka tidak lain selain memborong barangan bertemakan Piala Dunia yang bakal menjelang waktu itu.
Faktor terakhir yang tidak kurang pentingnya adalah permintaan dan bekalan. Jika barang A mempunyai permintaan yang tinggi tetapi bekalan di pasaran tidak mencukupi, maka harga A pasti akan meningkat. Sebagai contoh, suatu ketika dahulu seluruh dunia digemparkan dengan penyebaran wabak H1N1. Pada waktu itu semua dikehendaki untuk menutup hidung dan mulut menggunakan penutup muka. Akibatnya, harga penutup muka meningkat secara mendadak. Ini kerana permintaan yang terlampau tinggi dan bekalan yang tidak mencukupi.
Usahawan borong harus tangkas mengenal pasti peluang-peluang sebegini. Jika usahawan berada di waktu dan ketika yang tepat di dalam pasaran, keuntungan besar dapat diraih dalam masa yang singkat. Mereka hanya perlu peka kepada perubahan selera pelanggan dan menghidu kehendak semasa bagi mengaut pulangan yang maksima.
Cara yang terbaik adalah dengan membuat kajian di internet dan membaca suratkhabar untuk mengetahui permintaan semasa. Dengan memahami kehendak pasaran, usahawan borong boleh mengambil peluang dan memborong dari negara China keperluan yang mendapat permintaan tinggi dan menjualnya kepada peruncit-peruncit.
Jika usahawan borong mampu menguasai 3 ruang dan peluang ini (FED), potensi untuk memacu bisnes ke hadapan adalah lebih cerah dan lebih terancang. Apa yang usahawan borong perlu lakukan adalah membuka mata, memasang telinga dan berfikir secara kreatif, insya-Allah, pasti berjaya!
Siapakah Great Minds Training and Consultancy?
Kami adalah syarikat latihan dan perundingan keusahawanan yang menawarkan kursus Guangzhou 101 khas untuk para usahawan yang berminat untuk memborong barangan terus dari negara China. Selain itu kami juga menganjurkan rombongan memborong ke China atau dikenali sebagai Guangzhou 102. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web kami di sini.
No comments:
Post a Comment